Tuesday 10 December 2013

Kenangan Pasal Banjir.

*Terlebih dahulu, kita bersama menyampaikan takziah atas kehilangan harta benda dan kesusahan yang dialami mangsa2 banjir di seluruh negara. Semoga terus tabah menjalani hidup... Bagi yang mampu, bantulah sehabis baik ehmmm.....*

Banjir ini sebenarnya berlaku bila air hujan mula bertakung kerana permukaan bumi tidak lagi mampu menyerap air. Aku pun tidaklah mahir dalam Sains tetapi sememangnya aku akui, fenomena banjir ada juga keajaiban dan mudaratnya pun besar kalau dipandang ringan.

Banjir bukan sahaja boleh berlaku di kawasan berhampiran sungai, tetapi bandar juga tidak terlepas dari bencana alam ini.  Banjir juga mampu berlaku di kawasan gurun ataupun pergunungan. Dan selalunya juga, banjir adalah salah satu kesan yang berlaku sekiranya ada berlaku taufan mahupun tsunami. Boleh katakan bahawa banjir adalah salah satu fenomena alam yang kerapkali berlaku di serata dunia.

Kalaulah nak bercerita pasal banjir, aku sukalah nak bercerita mengenai arwah atuk. Atuk aku bernama Deraman. Atuk pernah merasai susah ketika banjir besar bergelar Bah Merah melanda Kelantan suatu ketika dahulu. Sememangnya Bah Merah adalah mimpi ngeri ketika itu. Tanaman musnah, harta benda rosak dan kehilangan jiwa juga berlaku. Atuk juga terpaksa berlapar kerana sukar untuk mendapat makanan.

Sekarang, aku juga secara tak rasmi menjadi seorang yang mahirlah jugak menilai situasi banjir. Kalaulah aku ni belajar Sains, dah boleh jugak aku jadi pengkaji, Chewah, angan besar nampak! Kalaulah nak jadi cerita , dahulu di zaman Mesir Purba, mereka berupaya meramal banjir dengan membuat cerapan bintang yang dipanggil " Sirius " tapi nama betulnya aku tak ingat sangatlah.

Dan, aku selalu aje menjadi jiwang bila banjir melanda kampung aku. Hal ini kerana, aku yang selalunya pemalas dan kurang bersemangat akhirnya seolah- olah menjadi seorang yang hebat dan berkemampuan bila banjir mendatang. Aku nak kata banjir ini macam beri aku satu tenaga untuk menjadi rajin dan bijak. Kebiasaannya, bila kita berada dalam susah, kita akan segera ligat mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan diri.

Selain atuk, ayah saudara aku , aku panggil Ayah Da, juga berupaya dalam hal banjir. Ayah Da pandai buat perahu.Banyak juga duit hasil buat perahu. Dulu larat, sekarang Ayah Da dah kurang membuat perahu sebab kayu semakin mahal dan susah nak dapat. Mungkin masa mendatang boleh beli yang fiberglass aje.Perahu memudahkan aku dan family bergerak semasa banjir.

Kalau nak dibandingkan dengan adik- beradik aku, aku mungkin antara orang yang paling biasa dengan keadaan banjir. Yelah, semuanya dah berkerjaya, manalah sempat nak mengkaji dan merasai banjir. Banjir pun datang setahun sekali je. Aku sebenarnya merasa kagum bila banjir berlaku, rumah aku yang jauh dalam hutan, dah jadi pesta bila semua orang datang nak tengok banjir. Adalah juga nak memukat, menjala. Budak- budak enjoy sampai malam.

Tahun ini adalah mungkin yang paling last aku sempat merasa bermain air banjir. Nanti, kalau dah bekerja, aku tak akan dapat rasa lagi belaian air banjir yang menyirami aku untuk banyak tahun ini. Aku perasan bahawa aku dan cuaca hujan sering berkaitan. Man of Rain is the nickname. Hehe, angan jer. Kalau aku merasa susah hati , selalunya hujan akan turun... tak tahulah macam mana itu. Allah Maha Mengetahui.

Aku dah dapat memukat ikan. Tapi ada seekor ikan puyu aku pelihara. Orang tua- tua dulu biasanya suka akan ikan puyu. Ikan puyu ni pulak pandai betul. Bila aku lalu kat balang dia, dia berenang- renang kejar aku.Rupanya dia nak makan. Hai, pandai!

Sebenarnya, tiada ada mana- mana negara pun dapat melawan banjir. Sebab ini semua kuasa Allah, tengoklah kat Eropah, banjir besar berlaku walaupun sistem kaji cuaca mereka lebih moden berbanding kita. Tetapi, aku menyarankan bahawa kita patut mengambil iktibar dan inisiatif bagi mengawal banjir besar dari berulang.

Secara peribadinya, aku tak mahu banjir hilang terus. Biarlah Malaysia terus berkembang asalkan banjir tetap ada. Maksud aku, secara terkawallah. Kalau tiada banjir, susah juga nak menanam padi sebab padi memerlukan banyak air. Air hujan juga adalah sumber air tawar yang tidak ternilai. Alangkah bagus kalau air hujan ini dapat disimpan dan digunakan dalam kehidupan harian. Janganlah sebab kita ada air paip, kita sombong tak mahu menadah rahmat sebab hujan sebenarnya salah satu rahmat Allah.Kita patut bertasbih memuji kebesaran Allah bila hujan turun. Banjir aku akui satu musibah, tetapi kalaulah kita berwaspada, banjir juga boleh menjadi sahabat karib.

Secara teknologinya, dengan segala hujan dan kuasa alam, kita boleh menghasilkan banyak tenaga dari alam semulajadi. Jangan kita orang Islam jadi bodoh sombong, contohilah negara yang banyak bergantung kepada kuasa semulajadi.

Banjir juga boleh menjadi musibah sebab kecuaian kita mengurus tadbir bumi ini.  Hati aku mengatakan bahawa banjir adalah seperti seseorang yang cuba bangkit dari kesedihan dan kesusahan. Siapa sangka, air hujan yang menitis sikit2 itu berupaya mendatangkan jumlah kuasa yang besar sehingga melumpuhkan sesebuah bandar.

Dan , jagalah keselamatan diri dan keluarga sepanjang musim banjir. Dengar kata, penyakit kencing tikus juga dapat dibawa melalui air banjir. Binatang liar juga akan cuba mengelak dari banjir, bimbang kalau terserempak ular ataupun lipan. Jaga juga keselamatan rumah, bimbang ada yang merompak semasa kita tengah sibuk melihat banjir. Paling penting, jaga dokumen dari banjir. Kereta atau motorsikal patut diletakkan di tempat yang selamat dari air banjir.

Ini bunyinya macam kedekut, tetapi sebenarnya, jangan pinjamkan perahu senang2. Hal ini kerana bukan semua orang layak membawa perahu. Entah2 terbalik, kita pula dipersalahkan. Perahu pula adalah sensitif, kalau cuai , karamlah.

p/s : Ketika banjir, pergaduhan pun mudah berlaku sebab isu-isu kecil macam simbah air secara tak sengaja. samseng mengacau ketika aku memukat kerana nak ikan percuma.


No comments:

Post a Comment